Thursday, September 29, 2011

Muhasabah diri sebentar

“Kau ada Facebook? Apa nama Facebook kau?”
Inilah antara soalan wajib masakini yang biasa kedengaran daripada mulut sahabat atau kenalan, samada yang sudah lama dikenali maupun yang baru.
Siapa sahaja yang tak kenal atau tiada akaun Facebook akan dianggap kolot. Sebagai sebuah negara yang membangun, rakyat Malaysia bolehlah berbangga kerana telah diiktiraf sebagai antara pengguna Facebook yang tertinggi membuang masa di dunia. Melalui data yang dikumpulkan, pada tahun 2010 sahaja dianggarkan terdapat 7.5 juta pemilik akaun Facebook di Malaysia.
Sebagai salah seorang rakyat Malaysia yang kononnya sentiasa mengikut trend dan tidak mahu dituduh kolot, saya juga turut terjebak dengan fenomena membuang masa mengumpat, mengorat dan bermain game di Facebook ini. Walaupun adakalanya dikaitkan dengan pelbagai gejala negatif, saya berpendapat Facebook juga ada kebaikannya, terutama untuk mengeratkan silaturahim sesama insan dan mempromosikan perniagaan.
Sejak mula menjebakkan diri sejak 2008, saya telah memenuhi kuota 5000 rakan yang ditetapkan di dalam akaun Facebook dan tidak boleh menambah rakan baru lagi. Walaubagaimanapun, dari masa ke semasa, akan ada rakan-rakan Facebook yang berani ‘menceraikan’ saya atau menutup akaun Facebook mereka.
Pemergian mereka ini memberi slot kosong untuk diisi oleh pemohon-pemohon baru yang telah lama menunggu untuk menjadi rakan Facebook saya. Ketika artikel ini ditulis, terdapat 2,564 rakan baru yang menunggu untuk diterima atau direject oleh saya.
Dengan kuota yang ditetapkan, mustahil untuk saya menerima kesemuanya menjadi rakan. Saya perlu bersikap memilih dan jual mahal sedikit.
Walaupun tanpa kuota, belum tentu juga saya mahu berkawan dengan semua orang. Sebagai manusia, masing-masing mempunyai sebab dan kriteria tersendiri untuk memilih siapa untuk menjadi kawan.

No comments:

Post a Comment